Wednesday, 15, October, 2025
Utama Nasional Gencatan senjata Gaza tidak boleh jadi henti seketika peperangan – PM

Gencatan senjata Gaza tidak boleh jadi henti seketika peperangan – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan gencatan senjata di Gaza tidak seharusnya menjadi jeda sementara sebelum pertumpahan darah berulang, sebaliknya perlu menjadi asas kepada keamanan kekal serta pengiktirafan hak rakyat Palestin.

Beliau berkata, walaupun Malaysia menyokong inisiatif damai 20 perkara yang disarankan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pelan berkenaan belum menampilkan pendekatan menyeluruh terhadap isu pelarian Palestin serta pembentukan sebuah negara merdeka.

“Setakat ini tiada jaminan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka, dan tiada komitmen jelas terhadap penubuhan negara Palestin yang berdaulat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Kuala Lumpur mengenai Peraturan Baharu Antarabangsa yang Adil dan Berperikemanusiaan, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia bersama beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil, menyokong gencatan senjata berkenaan dengan syarat ia membawa kepada pembinaan semula Gaza serta memulihkan maruah rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi.

Anwar turut mengecam kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu yang disifatkan tidak menunjukkan sebarang niat untuk menghormati komitmen terhadap keamanan sejagat.

“Dunia tidak boleh membiarkan Gaza terus terperangkap dalam kitaran kemusnahan dan keputusasaan. Kepimpinan antarabangsa mesti menterjemah kemarahan moral kepada tindakan nyata,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis yang terus meragut nyawa rakyat tidak berdosa di wilayah berkenaan.

Selain bantuan kemanusiaan sebanyak RM100 juta kepada Gaza, Malaysia turut menjalin kerjasama dengan Jepun, negara-negara Asia Timur serta rakan dari Timur Tengah bagi menggerakkan bantuan tambahan kepada rakyat Palestin yang terjejas.

Katanya, tragedi di Gaza bukan sekadar isu serantau, tetapi menggambarkan krisis moral dan kemanusiaan global yang mendalam dan memerlukan keberanian politik semua pihak untuk menuntut keadilan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com