SIPITANG: Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata langkah itu bertujuan melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform media sosial benar-benar dikuat kuasa.
Menurutnya, keputusan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej jelas bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan pengesahan identiti, terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri Sindumin, di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin; serta Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata satu pertemuan antara MCMC dengan wakil syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Katanya, selain isu kanak-kanak, pelaksanaan eKYC juga penting dalam membanteras kegiatan penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan berbahaya seperti judi dan iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam. Semalam dalam Parlimen saya ada menjawab soalan berhubung perkara ini — 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan adalah daripada Facebook,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pelaksanaan inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menerusi program NOW adalah usaha kerajaan memperluas capaian digital dan kemudahan teknologi maklumat ke kawasan luar bandar.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.
Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian sehingga 250 megabit sesaat serta sejumlah tablet bagi membolehkan penduduk tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan dalam talian.
Fahmi turut menyentuh mengenai pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2026.
Katanya, projek itu akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah bagi meningkatkan keupayaan komunikasi serta mengurangkan kebergantungan terhadap kabel dasar laut sedia ada.
“Untuk program SALAM di Sabah, kita akan bina jaringan kabel dasar laut di pesisir pantai dari Tanjung Aru hinggalah ke Tawau. Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.
Beliau menegaskan, projek berkenaan menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi bagi memastikan capaian rangkaian yang lebih stabil di negeri itu.
Dalam masa sama, MCMC juga akan menumpukan kepada penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat banjir melalui pelaksanaan proses site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal beroperasi dalam situasi kecemasan dan bencana alam.