Sunday, 19, October, 2025
Utama Nasional Kerajaan perlu bertindak agresif lindungi golongan muda daripada bahaya dunia maya

Kerajaan perlu bertindak agresif lindungi golongan muda daripada bahaya dunia maya

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Isu buli, penggunaan telefon pintar secara berlebihan, penyebaran media tidak wajar dan laporan penderaan seksual dalam talian mendesak kerajaan untuk bertindak lebih agresif dalam melindungi golongan muda di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah mencadangkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial bukan bertujuan menyekat kebebasan remaja, sebaliknya untuk melindungi mereka daripada ancaman bahaya dunia siber yang semakin membimbangkan.

“Langkah ini bukan sekatan, tetapi perlindungan. Kita mahu pastikan anak-anak kita tidak menjadi mangsa kepada kandungan berbahaya, buli siber dan eksploitasi seksual dalam talian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana semakin ramai kanak-kanak dan remaja terdedah kepada eksploitasi seksual, buli siber serta kandungan tidak bermoral melalui media sosial.

Katanya, laporan UNICEF bertajuk Disrupting Harm Malaysia 2023 mendapati empat peratus pengguna internet berumur antara 12 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian seperti pemerasan, perkongsian imej tanpa izin dan paksaan melakukan aktiviti seksual.

Selain itu, kajian tempatan menunjukkan 74.5 peratus pelajar sekolah menengah pernah terdedah kepada bahan pornografi, manakala sekitar 30 peratus remaja menjadi mangsa buli siber.

“Cadangan had umur 16 tahun ini dianggap wajar kerana pada usia itu, remaja sudah lebih matang untuk memahami batas keselamatan dalam talian.

“Sebelum itu, ibu bapa dan sekolah memainkan peranan penting mendidik anak-anak tentang tanggungjawab digital,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu memastikan syarikat media sosial bertanggungjawab dengan memperkukuh sistem pengesahan umur pengguna serta menapis kandungan tidak sesuai mengikut norma tempatan.

“Platform media sosial perlu lebih beretika dan bertanggungjawab. Mereka tidak boleh membiarkan kanak-kanak menjadi sasaran kepada kandungan yang boleh merosakkan minda dan emosi,” katanya.

Fahmi berkata, peningkatan kes rogol berkumpulan membabitkan pelajar sekolah di Melaka dan Kedah baru-baru ini turut menunjukkan bahaya dunia digital dan realiti fizikal saling berkait, apabila kejadian turut dirakam dan disebarkan di media sosial.

“Apabila insiden jenayah seperti ini dirakam dan dikongsi di media sosial, ia menunjukkan masalah etika dan kurangnya kesedaran tentang kesan tindakan di dunia maya,” katanya.

Beliau menjelaskan, kementeriannya kini dalam fasa akhir merangka dasar keselamatan digital kanak-kanak yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tidak lama lagi bagi memperincikan garis panduan dan mekanisme pelaksanaan.

Menurutnya, dasar itu turut dijangka memperkenalkan sistem aduan pantas serta tanggungjawab lebih ketat kepada platform media sosial untuk menangani kes buli siber dan eksploitasi seksual.

“Kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan sebarang bentuk penderaan, sama ada fizikal atau digital. Perlindungan kepada generasi muda adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, usaha melindungi generasi muda tidak boleh digalas kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada ibu bapa, sekolah dan syarikat media sosial.

Katanya, kerajaan kini sedang berbincang dengan platform utama seperti Meta, TikTok dan YouTube bagi memperkukuh kawalan umur pengguna serta memastikan algoritma mereka tidak menjejaskan kesejahteraan psikologi remaja.

“Cadangan ini akan dibuka untuk perbincangan awam bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum pelaksanaannya dimuktamadkan. Apa yang kita mahu ialah keseimbangan antara kebebasan digital dan keselamatan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu diharap dapat menyeimbangkan kebebasan digital dengan tanggungjawab sosial, seterusnya menjadikan ruang siber di negara ini lebih selamat dan beretika untuk generasi muda.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com