JASIN: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka mencatatkan kehadiran lebih 204,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, menjadikannya antara program paling berjaya dalam sejarah inisiatif berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) selaku kementerian peneraju yang menampilkan pelbagai pameran kemudahan serta aset pertahanan.
“Saya mengucapkan penghargaan dan tahniah, terutama kepada MINDEF kerana kali ini penganjuran amat istimewa. Tarikan kepada kemudahan dan kelengkapan pertahanan menjadi antara faktor utama kehadiran luar biasa rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan PMR 2025 Melaka, di sini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Anwar menegaskan, PMR berfungsi sebagai wadah penting bagi kerajaan menyantuni rakyat dan memberi penjelasan secara langsung mengenai dasar serta pelaksanaan projek di bawah Kerajaan MADANI.
“Matlamat utama kita adalah untuk mendekati rakyat, agar mereka dapat melihat sendiri pelaksanaan dasar kerajaan serta menilai kebertanggungjawaban yang kita tekankan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang seumpama itu mencerminkan semangat keterbukaan dan komunikasi dua hala antara kerajaan dengan rakyat, selaras dengan prinsip ketelusan yang menjadi teras pentadbiran MADANI.
Pada program itu, Anwar turut diperkenalkan kepada ‘Asuk’ atau Anjing Siber Skuad Khas, iaitu robot anjing berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang direka bagi menyokong aplikasi keselamatan dan pertahanan negara.
Robot itu dibangunkan dengan kerjasama Ghost Robotics dari Amerika Syarikat dan menjadi sebahagian daripada strategi Aerospace Defence Industries Sdn Bhd (NADI) untuk membina ekosistem tanpa pemandu yang pintar bagi operasi darat, laut dan udara.
PMR 2025 Melaka menampilkan pelbagai pengisian termasuk aktiviti komuniti, pameran agensi kerajaan, persembahan pertahanan dan sukan rakyat yang menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program berkenaan dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik MINDEF dan Kerajaan Negeri Melaka.