Monday, 20, October, 2025
Utama Nasional Kesiapsiagaan pertahanan tidak boleh diabaikan

Kesiapsiagaan pertahanan tidak boleh diabaikan

oleh Ammar Haziq

JASIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan negara yang dikecapi hari ini bukan alasan untuk melonggarkan disiplin serta kesiapsiagaan pertahanan negara.

Beliau berkata sejarah membuktikan banyak negara terperangkap dalam kelekaan apabila hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan sosial ketika berada dalam suasana aman, sehingga mengabaikan kekuatan ketenteraan.

“Apabila keadaan stabil, ada yang beranggapan segalanya sudah terkawal. Namun bagi kita, keamanan tidak boleh dijadikan sebab untuk mengetepikan persiapan dan keupayaan pertahanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 di Politeknik Merlimau.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.

Anwar berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026 sebagai komitmen terhadap usaha memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan pertahanan negara.

Menurutnya, rakyat wajar diberikan penjelasan mengenai pelaburan besar itu agar memahami kepentingan perolehan aset dan teknologi pertahanan demi keselamatan serta kedaulatan negara.

“Kalau beri peruntukan besar kepada pertahanan, rakyat perlu tahu ke mana ia disalurkan — pesawat mana, kenderaan mana, sistem mana. Semua ini perlu dijelaskan agar tidak timbul persepsi negatif,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan atas usaha memperkukuh aspek kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk penyediaan perumahan, sekolah dan program pemulihan bagi keluarga tentera.

Katanya, kerajaan beriltizam memastikan kesejahteraan anggota pertahanan terus dijaga seiring dengan peningkatan keupayaan pertahanan negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kekuatan negara bukan hanya diukur pada aspek ketenteraan, tetapi juga keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang ketirisan serta jenayah ekonomi.

“Dalam tempoh dua tahun, penguat kuasa berjaya menyelamatkan hasil negara sebanyak RM15.5 bilion daripada kegiatan penipuan dan sindiket gelap. Itu wang rakyat yang kini dapat disalurkan semula untuk manfaat bersama,” katanya.

Anwar turut memuji keberanian agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menumpaskan sindiket besar dan melindungi hasil negara.

Beliau menambah, dana berbilion ringgit yang berjaya diselamatkan akan dikembalikan kepada rakyat melalui peruntukan bagi pembangunan sekolah, klinik, jalan raya serta pelarasan gaji penjawat awam.

Menurutnya, langkah itu membuktikan keazaman kerajaan untuk menguruskan fiskal negara secara telus, bertanggungjawab dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com