JASIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa hampir sejam menyantuni ribuan rakyat sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang berlangsung di Politeknik Merlimau, di sini pada Sabtu.
Anwar tiba sekitar jam 11.30 pagi dan diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Selepas merasmikan program berkenaan, beliau menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) kolaborasi strategik pembangunan Perwira SuperApp di Pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF).
MoU berkenaan ditandatangani antara Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Pernama Network Sdn Bhd, Datuk Omar Shariff Mydeen.
Perwira SuperApp merupakan aplikasi rasmi yang dibangunkan khas untuk komuniti MINDEF, meliputi anggota tentera, veteran, kakitangan awam, pasukan simpanan serta ahli keluarga mereka.
Aplikasi digital berkenaan berfungsi sebagai hab sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup bagi memudahkan urusan komuniti pertahanan negara.
Perdana Menteri turut menyaksikan pertandingan tarik tali yang dianjurkan di kawasan aktiviti Sukan Permainan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menghadiri kenduri rakyat di khemah Selera Melaka.
Program MADANI Rakyat yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan mendekatkan pemimpin dengan rakyat melalui pelbagai aktiviti komuniti, pameran agensi kerajaan serta persembahan pertahanan dan hiburan rakyat.