Wednesday, 22, October, 2025
Utama Nasional PM seru rakyat pupuk semangat kekitaan, manfaatkan Deepavali sebagai simbol keharmonian

PM seru rakyat pupuk semangat kekitaan, manfaatkan Deepavali sebagai simbol keharmonian

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat menjadikan sambutan Deepavali sebagai peluang memperkukuh perpaduan, menyemai nilai saling menghormati dan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi tunjang kekuatan negara.

Menurut Anwar, semangat Pesta Cahaya melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengalahkan kejahatan serta kekuatan ilmu menghapuskan kejahilan, nilai yang wajar dijadikan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Deepavali tiba dengan penuh keceriaan, membawa bersama semangat Pesta Cahaya, lambang kemenangan kebaikan dan kebijaksanaan. Moga perayaan kali ini diraikan dengan jiwa penuh kesyukuran dan kebangkitan pemikiran yang segar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama, budaya dan bangsa hanya akan terus makmur sekiranya setiap rakyat berpegang pada prinsip saling menghormati serta hidup dalam persefahaman.

“Darjat dan harakat rakyat hanya akan terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera jika kita terus memperkukuh semangat perpaduan,” katanya lagi.

Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh penganut Hindu dan menzahirkan harapan agar perayaan itu diraikan dengan penuh kasih sayang, keharmonian serta semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com