KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI mencatat kejayaan besar apabila berjaya menyelesaikan 13 tuntutan utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi negeri Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, penyelesaian itu melibatkan beberapa perkara penting termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik serta pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan negeri, sekali gus memberi ruang kepada Sabah mengurus sektor tenaga secara menyeluruh.
“Melalui sokongan Kerajaan MADANI, kontraktor minyak dan gas Sabah berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024. Selain itu, kerajaan Persekutuan turut membenarkan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang dijangka menjana hasil tambahan RM2 bilion setahun,” katanya ketika berucap pada sesi penerangan mengenai Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kemajuan itu dicapai hasil perbincangan berterusan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar menegaskan, langkah tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI melaksanakan semangat MA63 secara menyeluruh, bukan sekadar janji di atas kertas.
“Kerajaan MADANI bukan sahaja menghormati hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, malah berusaha memastikan pelaksanaannya memberi manfaat terus kepada rakyat negeri itu,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan Persekutuan tetap menyalurkan peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah kekal terjamin.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan berasaskan rundingan dan kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan akan mempercepatkan penyelesaian baki tuntutan lain yang masih dalam proses.
Beliau menambah, komitmen yang ditunjukkan itu selari dengan matlamat kerajaan MADANI untuk memperkukuh perpaduan negara dengan menzahirkan keadilan kepada semua negeri dalam Persekutuan Malaysia.