Thursday, 23, October, 2025
Utama Nasional MCMC cadang hadkan dua kad SIM bagi setiap pengguna

MCMC cadang hadkan dua kad SIM bagi setiap pengguna

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan rundingan awam bagi merangka garis panduan baharu pendaftaran kad SIM prabayar yang mencadangkan had pemilikan hanya dua nombor bagi setiap syarikat telekomunikasi untuk warganegara Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi warga asing pula, cadangan tersebut mengehadkan mereka kepada hanya dua nombor prabayar secara keseluruhan tanpa mengira syarikat telekomunikasi yang digunakan.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengekang penyalahgunaan kad SIM prabayar yang sering digunakan untuk aktiviti jenayah siber seperti penipuan, penyebaran maklumat palsu dan ugutan dalam talian.

“Dengan mengetatkan garis panduan ini, kita berharap dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan kad SIM prabayar bagi tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Menurut Teo, proses rundingan awam itu dijangka selesai hujung November, manakala garis panduan baharu disasarkan untuk dikuat kuasa pada suku pertama tahun hadapan.

Beliau menjelaskan, berdasarkan peraturan sedia ada sejak 2017, setiap individu dibenarkan memiliki sehingga lima nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi.

“Ini bermakna seseorang boleh mempunyai lima nombor daripada Maxis, lima daripada Celcom, lima daripada Digi, lima daripada U Mobile dan lima daripada YTL — jumlah yang besar untuk satu individu,” jelasnya.

Teo menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH), yang bertanyakan mengenai langkah kerajaan dalam memperkukuh keupayaan forensik digital dan dasar penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika di bawah MCMC.

Beliau berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital dan memastikan sistem komunikasi negara kekal selamat serta dipercayai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com