KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertikaian berhubung kes saman fitnah yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Menurut kenyataan bersama dikeluarkan, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak mengambil kira kesan tindakan saman serta kos perundangan yang bakal ditanggung.
Anwar dan Muhammad Sanusi bersetuju menamatkan pertikaian tersebut secara muktamad kerana berpandangan terdapat isu lebih besar dan penting yang memerlukan perhatian demi kepentingan negara.
“Sehubungan dengan itu, Muhammad Sanusi dengan secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan-kenyataan yang telah dibuat olehnya pada 13 November 2022 terhadap Anwar.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik serta berhemah antara kedua-dua pihak.
“Selaras dengan itu, Anwar yang menghargai usaha murni tersebut, bersetuju menarik semula guaman sivil terhadap Muhammad Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Muhammad Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pemimpin turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr Mohd Johan Lee, atas usaha mediasi yang membawa kepada penyelesaian berkenaan, selain pegawai-pegawai mahkamah yang menunjukkan profesionalisme sepanjang proses tersebut.
Mereka juga berharap agar penyelesaian ini dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan untuk menjejaskan kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian negara.
Pada 13 Disember 2022, Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat dalam satu ceramah kempen “Jelajah PN Best Tambun”.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Anwar mendakwa kenyataan fitnah tersebut membawa maksud beliau memperoleh pengampunan diraja melalui penipuan, kekal tidak diampunkan, memperdaya Yang di-Pertuan Agong, serta menggambarkan beliau sebagai pembohong, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.