KUALA LUMPUR: Malaysia dan Republik Demokratik Timor-Leste menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) penting bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang telekomunikasi dan media.
Majlis menandatangani MoU itu disertai oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Gonçalves Manetelu; serta Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes.
Menurut kenyataan bersama hari ini, langkah berkenaan menandakan komitmen baharu kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak lama, selain memupuk keyakinan bersama dalam usaha memperluas jaringan kerjasama serantau.
Katanya, Malaysia juga antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.
“MoU pertama, Memorandum Persefahaman Mengenai Kerjasama Telekomunikasi, ditandatangani antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste.
“Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak komited memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, meningkatkan keterhubungan digital serta mempromosikan pertukaran pengetahuan teknikal bagi manfaat bersama,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, MoU kedua, Memorandum Persefahaman Mengenai Pembangunan Maklumat dan Media, dimeterai antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Sekretariat Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste.
Katanya, persefahaman ini memberi penekanan kepada kerjasama profesional dalam bidang pertukaran maklumat, perkongsian berita serta program pembangunan kapasiti untuk pengamal media.
“Kedua-dua negara turut menegaskan komitmen untuk memperdalam hubungan dua hala serta memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan Timor-Leste.
Malaysia dan Timor-Leste berhasrat untuk terus bekerjasama ke arah mewujudkan rantau Asia Tenggara yang lebih berhubung, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” kata kenyataan itu lagi.