KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia bersetuju untuk meneroka bidang baharu dalam sektor tenaga sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan mengenai kerjasama tenaga sedang dijalankan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan rakan sejawatnya di Australia bagi memperluas peluang pelaburan serta membangunkan teknologi baharu dalam sektor berkenaan.
“Sudah tentu kita mempunyai kerjasama yang sangat berjaya bersama Lynas. Walaupun ada beberapa isu pada peringkat awal, kita kini telah memutuskan untuk meneruskan pelaburan tersebut yang merupakan antara pelaburan utama Lynas di Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Kuala Lumpur.
Anwar berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan pelaburan jangka panjang dalam sektor tenaga termasuk pembangunan modal insan dan penyelidikan teknologi bagi meningkatkan daya saing serta kemahiran tenaga kerja tempatan.
Selain sektor tenaga, kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian, khususnya bagi meningkatkan pengeluaran makanan dan memperbaiki sistem pengairan yang kini menjadi fokus utama Kementerian Pertanian.
Anwar turut menambah, kerjasama dalam sektor pendidikan, belia dan sukan juga akan diperluaskan, selaras dengan peningkatan jumlah pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi Australia setiap tahun.
Sementara itu, Albanese memaklumkan bahawa pasukan pelaburan kedua-dua negara telah mengenal pasti sejumlah besar projek bernilai tinggi yang berpotensi untuk dilaksanakan dalam pelbagai sektor utama termasuk tenaga dan pendidikan.
“Pasukan pelaburan telah mengenal pasti kira-kira A$20 bilion potensi projek yang sedang dibangunkan. Kami turut mengumumkan tambahan A$250 juta pelaburan langsung baharu pada pagi pertama lawatan saya ke Kuala Lumpur, dan kami akan terus meneliti projek-projek lain,” katanya.
Albanese turut menegaskan bahawa Australia komited untuk memperkukuh penglibatan ekonomi dengan ASEAN melalui pelaburan strategik dan kerjasama jangka panjang yang berpotensi memacu pertumbuhan serantau.
Beliau berkata, Australia juga akan terus merebut peluang pelaburan dan perdagangan yang dikenal pasti di bawah strategi serantau 2040 bertajuk Invested, bagi memastikan manfaat bersama kepada semua negara anggota ASEAN.
Kerjasama tenaga antara Malaysia dan Australia dilihat sebagai langkah penting ke arah membangunkan sektor tenaga mampan dan berdaya saing, selain memperkukuh hubungan ekonomi serta diplomatik kedua-dua negara dalam jangka panjang.