CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan apabila secara spontan melompat kecil di hadapan pengamal media ketika menghadiri satu acara rasmi di sini, semalam.
“Saya sihat, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” katanya ringkas sambil tersenyum kepada pemberita ketika ditanya mengenai keadaan kesihatannya selepas berehat selama sehari pada 2 November lalu.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pada Program Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Khamis.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan Anwar memohon maaf kepada rakyat Pahang selepas terpaksa menangguhkan lawatan kerja ke negeri itu atas faktor kesihatan.
Untuk rekod, beliau baru pulang ke tanah air Sabtu lalu selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Gyeongju, Korea Selatan selama tiga hari.
Lawatan ke Korea Selatan itu diadakan sehari selepas Anwar mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober lalu dan turut dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Premier China, Li Qiang.
Aksi spontan Perdana Menteri itu turut mencuri perhatian warganet yang menyifatkan beliau kelihatan sihat dan bersemangat meneruskan tugasan rasmi selepas jadual kerja padat di dalam dan luar negara.
“Alhamdulillah, saya sihat” – Anwar tarik perhatian dengan aksi spontan di Cyberjaya
10