Friday, 7, November, 2025
Utama Nasional Taufan Kalmaegi: Malaysia zahir takziah kepada Filipina

Taufan Kalmaegi: Malaysia zahir takziah kepada Filipina

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kehilangan nyawa serta kemusnahan besar yang dialami rakyat Filipina akibat Taufan Kalmaegi.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat tragedi ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Anwar berkata, laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan kediaman dan infrastruktur akibat taufan itu amat memilukan.

“Kita turut berdoa agar rakyat Filipina terus tabah menghadapi dugaan ini dan berjaya membina semula kehidupan serta komuniti yang terjejas,” katanya.

Taufan Kalmaegi dilaporkan meragut sekurang-kurangnya 114 nyawa, manakala 127 individu masih hilang di beberapa wilayah tengah negara berkenaan.

Bencana itu turut menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di kawasan bandar serta pinggir bandar dengan banyak rumah dan kenderaan dibawa arus deras, sementara sebahagian penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung rumah menunggu bantuan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com