CYBERJAYA: Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri semikonduktor apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 (IC Park 2) di CoPlace 9, Cyberjaya.
Majlis yang turut menyaksikan pelancaran Pusat Ujian Cip Termaju (Advanced Chip Testing Centre) itu disifatkan sebagai satu lagi pencapaian penting negara dalam usaha menjadi peneraju utama teknologi cip di rantau ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang hadir pada majlis berkenaan berkata, pembukaan fasiliti berkenaan adalah langkah bersejarah serta pemangkin utama ke arah membina ekosistem semikonduktor menyeluruh meliputi reka bentuk, ujian dan pengesahan cip.
Menurutnya, projek itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan Cyberjaya sebagai hab teknologi, malah membuka peluang besar kepada anak tempatan untuk menceburi bidang kejuruteraan berteknologi tinggi.
Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan, kemudahan berkenaan melambangkan transformasi Malaysia daripada sekadar pengeluar cip kontrak kepada pencipta dan pemilik teknologi cip tempatan.
“IC Park 2 menjadi bukti bahawa Malaysia kini beralih daripada peranan tradisional sebagai pemasang kepada pencipta inovasi teknologi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping berkata, pusat tersebut merupakan fasiliti ujian cip bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara.
Beliau berkata, setiap cip berteknologi tinggi perlu melalui proses ujian ketat sebelum dihantar kepada syarikat gergasi antarabangsa seperti Samsung, TSMC dan Intel yang turut hadir pada majlis berkenaan.
Tambahnya, pembangunan fasa baharu itu turut menempatkan Advanced Semiconductor Malaysia Academy (ASEM) yang berperanan melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh sepuluh tahun.
“Program latihan ASEM telah berjaya melatih ratusan pelajar setiap tahun dengan kadar penempatan kerja mencecah 100 peratus dan gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.
Majlis bersejarah itu turut menyaksikan graduasi tujuh kohort ASEM melibatkan ratusan pelajar kejuruteraan yang telah menamatkan latihan intensif bersama industri, sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi global.