KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil pihak TikTok untuk memberi penjelasan rasmi berhubung laporan media yang mendakwa platform itu digunakan bagi merekrut individu menyertai aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
MCMC dalam kenyataannya berkata, penjelasan itu membabitkan mekanisme pemantauan serta penguatkuasaan dalaman syarikat media sosial berkenaan terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu.
“Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.
Menurut MCMC, di bawah Seksyen 263(1) akta sama, setiap pemegang lesen bertanggungjawab memastikan rangkaian atau perkhidmatan mereka tidak digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang.
Orang ramai turut diingatkan agar berhati-hati terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, khususnya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara, kerana ia sering digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi keldai dadah.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan kesedaran awam terhadap penyalahgunaan media sosial untuk kegiatan jenayah rentas sempadan.
Semalam, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan empat warga tempatan ditahan selepas cubaan menyeludup 86 kilogram ganja bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November lalu.
Hasil siasatan mendapati suspek terdiri daripada dua pasangan lelaki dan wanita berusia 20-an dari Johor, mengaku menerima tawaran pekerjaan melalui aplikasi TikTok untuk membawa barangan sambil melancong dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000.