Thursday, 25, December, 2025
Utama NasionalLRT Pulau Pinang akan lintas laut, sambung ke Seberang Perai

LRT Pulau Pinang akan lintas laut, sambung ke Seberang Perai

oleh Ammar Haziq

BUKIT MERTAJAM: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bakal menjadi sistem pertama di luar Lembah Klang yang merentasi laut apabila jajaran baharunya dilanjutkan sehingga ke Seberang Perai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti semula pelan asal yang hanya tertumpu di kawasan pulau tanpa melibatkan tanah besar.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan negeri berlaku secara seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan.

Beliau berkata, selepas melihat semula projek LRT itu, beliau tidak mahu ia berhenti separuh jalan kerana hanya membabitkan kawasan pulau sedangkan ramai penduduk berada di tanah besar.

Katanya, kos projek meningkat selepas kerajaan memutuskan untuk melanjutkan jajaran ke Penang Sentral di Seberang Perai namun ia wajar demi manfaat rakyat di tanah besar.

Beliau menjelaskan, keputusan itu bagi mengelak persepsi kononnya kerajaan hanya menumpukan pembangunan di kawasan tertentu sahaja.

Laluan baharu berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Permatang Pauh, Bagan dan Nibong Tebal selain memperkukuh hubungan antara pulau dan tanah besar.

LRT Mutiara Line akan membabitkan 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik menghubungkan Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) hingga ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown.

Projek berkenaan turut dijangka membantu mengurangkan kesesakan di kedua-dua wilayah serta menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) bernilai RM3 bilion dipercepatkan bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya PLUS.

Projek itu bakal menghubungkan kawasan Juru, Sungai Dua dan Pematang Pauh hingga ke sempadan negeri serta dijangka memendekkan masa perjalanan daripada sejam kepada 20 minit pada waktu puncak.

Artikel Berkaitan