KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan sebuah kartel besar penyeludupan dadah yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu, namun tidak pernah dikenakan tindakan tegas sebelum ini.
Anwar berkata sebaik beliau menjadi Perdana Menteri, beliau menunggu laporan penuh mengenai kegiatan kartel yang dipercayai membawa masuk dadah menggunakan kontena, namun selepas setahun, tiada sebarang maklumat diterima daripada agensi berkaitan.
“Saya hairan, sebab orang ramai sudah lama bercakap mengenainya. Kemudian kontena itu masuk, kontena berisi dadah keluar dari Pelabuhan Klang, tapi ditangkap di Australia.
“Ketika itu saya memang mengamuk. Saya kata jangan beritahu saya anda tidak ambil apa-apa tindakan,” katanya pada sesi Sarapan Pagi dan Sembang Santai bersama pengamal media Sabah.
Menurut Perdana Menteri lagi, beliau tidak boleh bertolak ansur dengan isu sebesar itu dan segera mengarahkan tindakan diambil. Sejak itu, beliau bertemu ketua-ketua agensi setiap minggu untuk mendapatkan perkembangan terkini.
Anwar turut mendedahkan hasil siasatan awal menunjukkan ratusan kontena yang masuk ke negara ini diselindungi sebagai ‘e-waste’, sekali gus membuka ruang besar untuk kegiatan penyeludupan.
“Tugas saya arahkan supaya diserbu. Bagaimana, bila dan siapa (terlibat), itu kerja mereka. Dari situ kita dapati ada sindiket, ada ahli politik terbabit, malah ada kes bunuh oleh kumpulan ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun memuji tindakan tegas agensi penguat kuasa yang kini sudah mula mengambil langkah agresif membanteras kartel berkenaan.
“Kita sudah rampas banyak, kita sudah dakwa beberapa individu di mahkamah. Tindakan sedang berjalan,” katanya.