KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan secara dasar bersetuju untuk menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak selaras dengan pertambahan jumlah pengundi di kedua-dua negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, walaupun tiada komitmen untuk memenuhi tuntutan agar Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen, kerajaan tetap bersetuju bahawa jumlah kerusi perlu ditambah mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63), dan penentuan jumlah sebenar kerusi adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya maklumkan, sebagai dasar, kita perlu menambah bilangan kerusi. Tetapi jumlah sebenar kerusi adalah kuasa SPR. Ada komitmen untuk peningkatan, dan saya telah minta peguam negeri Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara menyelesaikan perkara ini,” katanya pada Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama Perdana Menteri.
Pada masa ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi.
Terdahulu, dalam ucapan di Tawau pada 26 September lalu, Anwar turut menegaskan perkara yang sama iaitu penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyentuh isu pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah yang masih belum mencapai tahap kemajuan seperti di Sarawak. Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan projek itu disiapkan dengan proses tender yang telus dan melalui jawatankuasa pemantauan yang betul.
“Saya dengar hampir 20 tahun mengenai Pan Borneo, tetapi di Sabah masih belum siap. Kalau nak subkontrak kepada syarikat Sabah, kita tetapkan syarat. Kalau ada syarikat tempatan yang mampu, kita beri peluang,” katanya.