ADDIS ABABA: Hari kedua lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ethiopia berlangsung padat apabila beliau memulakan jadual dengan meninjau Muzium Peringatan Kemenangan Adwa, lokasi bersejarah yang menjadi lambang kemenangan besar Ethiopia dalam Pertempuran Adwa pada 1896.
Bangunan ikonik itu turut menjadi simbol kebebasan benua Afrika dan lokasi utama pelbagai acara nasional serta diplomatik.
Selesai lawatan itu, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis sebelum menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–Ethiopia yang turut disertai delegasi perniagaan kedua-dua negara.
Pada sebelah petang, Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Negara Ethiopia lengkap dengan pemeriksaan perbarisan kehormat. Beliau turut menyempurnakan acara simbolik menanam “Pokok Persahabatan” sebagai tanda hubungan erat kedua-dua negara.
Perdana Menteri kemudian dibawa melawat Istana Negara yang memaparkan sejarah, budaya serta warisan Ethiopia.
Seterusnya, Anwar menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali sebelum kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU), antaranya dalam bidang kesihatan, perkhidmatan udara dan pelancongan.
Turut dimuktamadkan ialah kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pentadbiran bandar Addis Ababa yang membuka ruang kerjasama jangka panjang.
Kedua-duanya dijadual mengadakan sidang media bersama sebelum Anwar menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Abiy Ahmed.
Lawatan tiga hari Anwar ini merupakan kunjungan sulung beliau ke Ethiopia, sekali gus mengukuhkan hubungan Malaysia–Ethiopia yang mencapai usia 60 tahun sejak terjalin pada 1965.
Ethiopia yang terkenal sebagai negara tanpa pantai paling ramai penduduk di dunia turut menjadi rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di Afrika pada 2023.
Selepas Ethiopia, Anwar akan berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, sebelum meneruskan perjalanan ke Nairobi, Kenya, dan kembali ke tanah air.