JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang keputusan terhadap Setiausaha Politiknya berhubung dakwaan pemberian surat sokongan perlu berpandukan kepada kewajaran dan tahap keseriusan isu berkenaan.
Menurut Anwar, tindakan melaporkan atau memecat pegawai berkenaan tidak wajar dilakukan kerana perkara itu tidak melibatkan unsur salah laku, sebaliknya hanya membabitkan pelanggaran garis panduan kerajaan.
“Look at the gravity of the situation. Ini bukan salah laku. Prinsip pentadbiran memang tidak membenarkan surat sokongan seperti itu dikeluarkan, dan pegawai berkenaan telah ditegur,” katanya ketika ditemui media dalam perjalanan ke Johannesburg bagi lawatan kerja empat hari.
Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap desakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menuntut tindakan lebih tegas termasuk pemecatan, selepas menamakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai individu yang mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor projek hospital.
Rafizi sebelum ini menegaskan Perdana Menteri perlu menunjukkan komitmen penuh membanteras amalan tidak beretika dengan menyingkirkan pegawai terlibat, bukan sekadar memberi teguran.
Anwar bagaimanapun menekankan bahawa keputusan perlu dibuat secara adil, berasaskan pertimbangan sewajarnya, serta tidak dipengaruhi tekanan politik.