ADDIS ABABA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara ASEAN dan Afrika memanfaatkan tenaga, kreativiti dan iltizam belia untuk memperbaiki cara urusan kerajaan dijalankan, selari dengan tuntutan generasi muda masa kini.
Menurut Anwar, keupayaan belia sebagai penggerak perubahan mesti diiktiraf dan diberi ruang sebenar dalam proses pembangunan negara.
“Fenomena global ini adalah isyarat jelas kepada kerajaan di seluruh dunia bahawa cara kita mengurus perlu diperbaiki. Ini penting supaya kita dapat memenuhi keperluan belia dengan lebih bermakna,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas pada Forum Belia Afro-Malaysia di Addis Ababa.
Forum bertemakan Kerjasama Belia bagi Kemakmuran Bersama itu dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Ethiopia dan Kesatuan Belia Pan-Afrika, dengan penyertaan lebih 250 delegasi dari Malaysia dan Ethiopia.
Turut hadir, Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia, Ergoge Tesfaye.
Selain menghadiri forum tersebut, Anwar turut meluangkan masa bertemu pemimpin Islam Ethiopia sebelum berlepas ke Johannesburg bagi meneruskan lawatan kerja sehingga 23 November, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC), Mahamoud Ali Youssouf, di mana beliau menekankan potensi besar menghubungkan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dengan pasaran ASEAN sebagai pemangkin pertumbuhan baharu.
Malaysia turut menyatakan kesediaan berkongsi kepakaran dalam kewangan Islam, ekonomi digital, pembangunan infrastruktur mampan dan sektor komoditi bernilai tinggi seperti minyak sawit, selari dengan agenda pembangunan Afrika.
0