KUALA LUMPUR — Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena ulang tahun ketiga pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau menyifatkan tiga tahun Malaysia MADANI berdiri sebagai tempoh yang penuh hikmah dan ketegasan di bawah kepimpinan Anwar, yang terus mendengar denyut nadi rakyat serta mengemudi negara tanpa goyah.
“Hari ini bukan sekadar tarikh, tetapi catatan perjalanan. Tahniah PMX, semoga langkah kita terus teguh dan Malaysia terus gemilang di bawah gagasan Malaysia MADANI,” kata Shamsul Azri dalam hantaran di Facebook.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, dan pada Januari 2023 memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengangkat kembali martabat dan kegemilangan negara. Gagasan ini berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) akan menganjurkan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Disember.
Program berskala nasional ini bertujuan memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif Kerajaan MADANI secara telus kepada rakyat, selain menjadi platform rakyat bertemu pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.