NAIROBI — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima majlis sambutan peringkat negara di State House, kediaman rasmi Presiden Kenya, William Samoei Ruto, semasa lawatannya ke Nairobi.
Anwar mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Ruto, diikuti dengan penyaksian pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) termasuk dalam bidang pelancongan serta kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Nairobi City Council.
Selain itu, PM menyampaikan ucaptama dan merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika serta Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Kenya, bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan pendidikan antara kedua-dua negara.
Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.
Kenya, yang terletak di timur Afrika dan bersempadan dengan beberapa negara termasuk Tanzania, Uganda dan Ethiopia, merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dengan nilai perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion tahun sebelumnya.