JOHANNESBURG — Mesir menjemput Malaysia untuk menjadi penganjur bersama satu sidang antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly, susulan pertemuan mereka di Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Menurut beliau, jemputan tersebut disampaikan bagi pihak Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, yang menggalakkan Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam penganjuran sidang berkenaan.
Anwar berkata Malaysia menghargai pelawaan itu namun menegaskan bahawa keputusan hanya akan dibuat selepas penelitian terperinci dilakukan.
“Saya sudah meminta Wisma Putra meneliti butiran daripada pihak Mesir sebelum kita membuat keputusan,” katanya pada sidang media penutup lawatan kerjanya di Afrika Selatan selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Beliau berkata pendekatan Mesir itu menggambarkan pengiktirafan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin, selain keprihatinan negara terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza.