JOHANNESBURG — Malaysia menegaskan tidak pernah mencampuri urusan Thailand dan Kemboja susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Kuala Lumpur baru-baru ini, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara dialog antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia sebagai negara jiran mengambil pendirian prihatin terhadap ketegangan yang berlaku, namun tidak menentukan apa-apa keputusan dalam proses rundingan.
“Kita tidak terlibat dan tidak memberi apa-apa preskripsi khusus tentang bagaimana mereka harus mencapai penyelesaian. Peranan kita hanya menyokong proses perdamaian,” katanya pada sidang media Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di sini.
Kenyataan itu hadir ketika tekanan awam meningkat di Thailand, dengan kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar Kedutaan Malaysia dan Kedutaan Amerika Syarikat, yang menuduh Malaysia dan pihak luar lain campur tangan dalam urusan dalaman negara mereka.
Usaha diplomatik Malaysia ini tercetus selepas insiden keganasan di sempadan Thailand–Kemboja pada pertengahan 2025, yang disifatkan sebagai konflik terburuk dalam tempoh lebih sedekad.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani pada 26 Oktober, yang menyaksikan Kemboja memulakan pengunduran tentera secara separa pada 27 Oktober. Namun, pelaksanaan perjanjian itu digantung oleh Thailand susulan insiden letupan periuk api pada November, dengan Kemboja menjelaskan ia berpunca daripada periuk api lama tinggalan konflik terdahulu.