JOHANNESBURG: Malaysia berjaya menangani kejutan akibat tarif Amerika Syarikat (AS), tekanan rantaian bekalan, serta perubahan pesat teknologi dengan memperkukuh kerjasama bersama negara jiran di Asia Tenggara, selain memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, pengalaman menghadapi cabaran itu menunjukkan bahawa ekonomi yang sedang membangun tidak boleh mengasingkan diri. “Apabila dasar diselaraskan dan aturan boleh diramal, sebarang tekanan yang timbul dapat dilalui dengan kerosakan yang lebih kecil. Pengajarannya jelas… ketahanan datang daripada persiapan bersama, bukan pengasingan,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dijangka mengubah struktur pasaran tenaga kerja dengan kadar yang mungkin sukar ditampung institusi domestik. Kerajaan, katanya, perlu meningkatkan pelaburan terhadap tenaga kerja, khususnya golongan muda.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sesi 1 Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) bertemakan ‘Inclusive and Sustainable Economic Growth, Leaving No One Behind’ di Johannesburg, atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan jemputan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa sidang G20 tahun ini berlangsung ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik yang mendalam.
“Globalisasi membawa kemakmuran luar biasa, namun manfaatnya tidak dinikmati secara sama rata dan dunia lambat menyesuaikan diri. Ramai yang terbiar selepas krisis kewangan 2008 dan pandemik COVID-19, dan kesan politik daripada kejutan itu masih dirasai sehingga hari ini,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia perlu menyediakan rakyat, terutama golongan muda, bagi menghadapi kepantasan perubahan teknologi serta melabur dalam program latihan dan sistem jaringan keselamatan sosial. Perusahaan kecil dan sederhana yang menanggung sebahagian besar beban pekerjaan juga perlu diberi sokongan.
“Malaysia sudah ke hadapan melalui pelaksanaan ASEAN Digital Economy Framework Agreement yang menetapkan piawaian bersama dalam aspek data, pembayaran dan perdagangan digital,” kata Anwar.
Menyentuh soal ketahanan global, beliau berkata banyak negara sedang membangun kini membelanjakan lebih banyak dana untuk membayar hutang berbanding pendidikan atau pelaburan.
“Negara memerlukan keupayaan untuk melabur sebelum berlaku gangguan, dan perkara itu hanya boleh dicapai sekiranya bank pembangunan multilateral bekerjasama rapat dengan pihak yang memerlukan. Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua rakan bagi menghadapi cabaran bersama dan menyokong ekonomi global yang terbuka serta berperaturan,” tambahnya.