Friday, 5, December, 2025
Utama Nasional Teknologi disalah guna, kanak-kanak terancam: Pakar garis kepentingan kawalan awal CSAM

Teknologi disalah guna, kanak-kanak terancam: Pakar garis kepentingan kawalan awal CSAM

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) kini disebarkan dalam bentuk yang jauh lebih licik berbanding sebelumnya, menggunakan teknik digital baharu yang menyukarkan pengesanan walaupun oleh sistem keselamatan paling canggih.

Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia dan Pakar Psikologi Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pelaku kini menggunakan imej yang diubah suai termasuk yang dicipta kecerdasan buatan (AI) bagi mengaburi algoritma pengesanan.

Katanya, bahan itu tidak lagi disebarkan secara terang-terangan tetapi berlegar secara tertutup melalui kumpulan privasi tinggi, forum gelap dan aplikasi mesej terenkripsi yang hanya membenarkan akses kepada ahli terpilih.

“Wujud ekosistem tersembunyi yang membolehkan pemangsa berkongsi CSAM secara senyap, menggunakan akaun tanpa identiti, nombor maya, VPN dan maklumat palsu bagi memastikan kedudukan mereka sukar dikesan.

“Penyamaran metadata, penggunaan nama fail berkod dan watermark terselindung menjadikan bahan itu tidak dapat dikesan sistem automatik pada peringkat awal muat naik.

“Kadangkala kandungan dipindahkan dari seorang pelaku ke pelaku lain dalam tempoh beberapa saat sebelum sistem sempat mengimbas sepenuhnya. Ruang masa singkat inilah yang sering dimanipulasi,” katanya ketika dihubungi Kedah Gazette di sini, hari ini.

Fauziah menjelaskan, apabila satu muat naik terlepas, ia boleh dikongsi ratusan kali dalam masa singkat, menyebabkan usaha memadamkan semuanya menjadi hampir mustahil.

Katanya, pengesanan awal merupakan kunci memutuskan rantaian penyebaran, sekali gus mengelakkan mangsa melalui trauma berulang apabila imej mereka terus disebarkan.

Mengulas mengapa kanak-kanak bawah 16 tahun menjadi sasaran utama, beliau berkata golongan itu masih pada tahap perkembangan kognitif yang belum matang terutama dari aspek kawalan impuls, penilaian risiko dan kebolehan memahami niat jahat.

“Mereka mudah dipengaruhi pujukan, manipulasi emosi dan taktik grooming digital.

“Keinginan untuk diterima rakan sebaya pula menjadikan mereka lebih mudah mempercayai individu tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, ramai kanak-kanak tidak sedar bahaya diberi pautan, diminta gambar atau diajak ke platform lain oleh akaun palsu yang kelihatan seperti rakan sebaya.

Katanya, pengesahan umur moden kini penting dan tidak lagi boleh bergantung pada butang ‘I am above 16’, sebaliknya memerlukan teknologi pengesahan wajah, dokumen rasmi serta pengesahan identiti dua faktor.

“Had umur 16 tahun juga selaras dengan bukti perkembangan otak dan standard global yang digunakan banyak negara bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko digital berbahaya,” jelas beliau.

Dalam aspek platform digital, Fauziah berkata kawalan tegas perlu dilaksanakan termasuk penggunaan AI proaktif untuk mengesan bahan sebelum ia dilihat pengguna lain.

Katanya, teknologi hashing seperti PhotoDNA juga perlu digunakan bagi mengenal pasti bahan ulangan walaupun ia telah diubah suai atau dipotong kecil.

Beliau berkata, semakan kandungan perlu berjalan merentas bahasa dan platform, dengan prosedur seragam tanpa jurang masa yang boleh dimanipulasi pemangsa mencari ‘masa selamat’.

“Selain itu, pengguna yang membuat laporan berhak menerima tindakan segera termasuk penggantungan akaun pelaku, semakan kecemasan serta maklumat susulan mengenai status laporan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, tanggungjawab melindungi kanak-kanak bukan hanya bergantung kepada platform, tetapi melibatkan sekolah, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.

Katanya, antara langkah tambahan termasuk pendidikan keselamatan digital di sekolah, kawalan peranti oleh ibu bapa, saluran aduan tanpa stigma dan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.

Beliau turut menggesa sokongan psikologi diberikan lebih awal kepada mangsa bagi mengelakkan trauma berpanjangan dan membolehkan mereka kembali stabil secara emosi.

“Masyarakat perlu lebih peka kerana ancaman digital kini lebih kompleks, dan pemangsa tidak lagi hadir dalam bentuk yang mudah dikenali.

“Pencegahan dalam minit pertama adalah faktor penentu sama ada bahan CSAM dapat disekat atau tersebar luas, dan keselamatan kanak-kanak mesti menjadi prioriti mutlak semua pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.