Friday, 5, December, 2025
Utama Nasional Jangan lagi bertolak ansur dengan kandungan ganas, ekstrem dalam media – CAKE

Jangan lagi bertolak ansur dengan kandungan ganas, ekstrem dalam media – CAKE

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Kandungan berunsur ekstremisme dan keganasan yang semakin tersebar secara halus melalui media sosial, televisyen dan permainan digital kini menjadi kebimbangan besar kepada keselamatan awam dan perkembangan mental kanak-kanak serta remaja.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pengaruh keganasan dalam media arus perdana dan digital semakin ketara kerana mesej berbahaya kini disampaikan melalui bahasa berkod, simbol tersirat serta visual diubah suai yang sukar dikesan pada peringkat awal.

Menurutnya, kandungan yang mempromosi keganasan, buli, gangsterisme serta budaya samseng semakin menular walaupun ia dipaparkan melalui akaun tanpa identiti dan rangkaian kreator yang sengaja mencari tontonan tinggi.

“Laporan trend antarabangsa menunjukkan kumpulan berbahaya menggunakan platform digital bagi menyebar propaganda dan merekrut pengikut, dan Malaysia tidak terkecuali apabila perkongsian merentas platform semakin pantas tanpa kawalan rapi.

“Bila saya lihat apa yang dibentangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), memang jelas mereka nak tengok secara detail bagaimana kandungan ganas ini meresap dan mencetuskan gejala sosial seperti buli dan pembunuhan,” katanya ketika dihubungi Kedah Gazette di sini, hari ini.

Yusrizal berkata, kandungan televisyen turut menyumbang kepada normalisasi keganasan apabila kisah gangster, pergaduhan sekolah dan drama pemulihan remaja yang dipenuhi bahasa kasar masih ditonton kanak-kanak walaupun diklasifikasi 18 tahun ke atas.

Katanya, kesan pengaruh itu dapat dilihat apabila skrip-skrip ganas dan bahasa kotor dalam drama diadaptasi kanak-kanak di sekolah serta kawasan permainan.

“Kita pun pelik, bagaimana kandungan bahasa lu (awak) gua (saya)yang bangsa cina sendiri pun tak guna boleh lepas penapisan?.

“Filem yang tak sesuai pun boleh masuk sampai ke ruang tamu keluarga yang ditonton kanak-kanak dan remaja, akhirnya mereka guna skrip-skrip seperti ini seolah-olah ia nampak hebat dan kuat ,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan kawalan kandungan media sosial yang menurutnya semakin longgar apabila ada segelintir pempengaruh tidak bertanggungajawab menggunakan bahasa lucah, kata-kata ganas dan aksi tidak sesuai tanpa sebarang tindakan tegas.

Menurutnya, walaupun wujud Content Forum di bawah rangka kerja CMP (kod kandungan komunikasi dan multimedia), banyak kandungan berbahaya masih tidak ditapis kerana pempengaruh mengejar tontonan dan rating tinggi.

“Kita dulu pernah cadang supaya platform (sekatan) kandungan tak bertapis. Tapi sekarang makin teruk. Game pun tak sekat, game perang semua bebas,” katanya.

Yusrizal berkata, permainan video seperti Roblox yang digunakan kanak-kanak turut memaparkan kandungan bebas yang memberi pengaruh buruk terhadap perkembangan emosi dan pemikiran mereka.

Beliau menyokong langkah mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke atas, malah mencadangkan had dinaikkan kepada 18 tahun bagi mengurangkan pendedahan awal kepada keganasan digital.

Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih tegas dengan memantau penggunaan telefon anak-anak dan tidak membiarkan mereka berlegar di jalan atau tempat awam sambil bermain telefon.

Baru-baru ini katanya, seorang kanak-kanak hampir maut dilanggar motosikal kerana leka dengan telefon sementara ibu bapanya berjalan jauh ke depan tanpa mengawasi.

“Mereka tak boleh marah orang. Mak bapak pun kena pandang-pandang. Kena terima teguran orang apabila membabitkan anak,” katanya.

Yusrizal turut mengkritik syarikat telekomunikasi yang menawarkan telefon percuma atau murah kepada kanak-kanak melalui pakej kontrak rendah yang secara tidak langsung menggalakkan penggunaan telefon terlalu awal.

Katanya, tawaran seperti itu menyumbang kepada ketagihan skrin dan meningkatkan risiko kanak-kanak terdedah kepada kandungan ganas atau ekstrem.

Beliau menegaskan bahawa tiada kompromi harus diberikan kepada penyebaran kandungan keganasan kerana ia boleh menggugat keharmonian negara dan mempengaruhi golongan belia yang mudah terpengaruh.

Menurutnya, kawalan ketat, pengesanan awal dan moderasi konsisten oleh platform digital penting bagi memastikan persekitaran komunikasi yang lebih selamat.

Yusrizal yang juga bekas ahli Consumer Forum of Malaysia menegaskan sudah tiba masa semua pihak termasuk badan pengawal selia, platform, ibu bapa dan masyarakat mengambil serius bahaya kandungan ganas sebelum ia berakar dan membawa kepada tragedi lebih buruk.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.