KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih belum diselesaikan sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan obligasi kewangan melebihi RM50 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sejak 2018 hingga kini, kerajaan telah membayar RM42 bilion bagi melunaskan hutang termasuk prinsipal, faedah serta komitmen berkaitan 1MDB.
“Hutang pasaran 1MDB yang diwarisi berjumlah RM34 bilion dari segi prinsipal dan melibatkan komitmen faedah kira-kira RM17 bilion. Ini bermakna jumlah obligasi kewangan 1MDB melebihi RM50 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata daripada keseluruhan RM42 bilion yang dibayar, hanya RM29 bilion menggunakan dana hasil pemulihan aset 1MDB, manakala kekurangan RM13 bilion terpaksa ditanggung kerajaan.
Anwar menegaskan pemulihan aset yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi bagi menampung komitmen bayaran balik liabiliti syarikat itu.
Menurutnya, masih terdapat baki obligasi hutang 1MDB berjumlah RM9 bilion, membabitkan hutang prinsipal dan faedah Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) sehingga tahun 2039, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4 bilion.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta penjelasan mengenai status semasa hutang dan pembayaran liabiliti 1MDB.