Saturday, 6, December, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan kekal komited penyasaran subsidi RON95, tolak cadangan Bank Dunia – PM

Kerajaan kekal komited penyasaran subsidi RON95, tolak cadangan Bank Dunia – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan kekal dengan pendirian untuk melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan sepenuhnya mengikut harga pasaran.

Anwar berkata cadangan bank berkenaan agar harga petrol dinaikkan kepada RM2.65 seliter bagi semua kategori pengguna, sebelum diberikan subsidi semula kepada golongan tertentu, tidak selaras dengan pendekatan kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri menolak cadangan itu. Sebaliknya, kita menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter untuk rakyat dan RM2.60 seliter bagi warga asing.


“Ini menunjukkan pendekatan kerajaan yang lebih berhemat dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026) pada sidang Dewan Negara.

Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, penyasaran subsidi dilaksanakan secara menyeluruh untuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat Malaysia dan pada masa sama mengurangkan ketirisan kepada warga asing serta kegunaan komersial.

Beliau berkata sambutan terhadap penyasaran subsidi RON95 di seluruh negara amat positif, dengan pengguna melihat langkah itu sebagai pelaksanaan yang adil dan tidak membebankan.

Mengulas keberkesanan langkah penstrukturan subsidi sebelum ini, Anwar berkata keputusan mengapungkan harga ayam dan telur serta menyasarkan subsidi elektrik, diesel dan RON95 membolehkan kerajaan menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun.

Dalam konteks pengurusan fiskal negara, beliau menegaskan kerajaan tidak memperkenalkan cukai baharu ketika pembentangan Belanjawan 2026, sebaliknya memberi fokus kepada penambahbaikan tadbir urus, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.

“Lazimnya apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi Malaysia menambah peruntukan tanpa menambah cukai kerana kita melaksanakan penyasaran subsidi dan langkah lain bagi mengelakkan ketirisan.

Jika kerajaan Persekutuan boleh berbuat demikian, saya menyeru kerajaan negeri turut berhati-hati agar cukai baharu tidak membebankan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.