KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kesedihan mendalam atas pemergian tokoh kewangan Islam terkemuka, Yaqub Mirza, yang disifatkannya sebagai sahabat rapat keluarga serta figura penting dalam pembangunan ekonomi Islam moden.
Anwar berkata sumbangan Allahyarham merentasi pelbagai institusi, termasuk peranan besarnya dalam membangunkan Amana Funds dan menubuhkan Centre for Islam in the Contemporary World di Universiti Shenandoah, yang memperkukuh wacana mengenai cabaran umat Islam masa kini.
Menurutnya, legasi ditinggalkan Allahyarham dapat dilihat melalui institusi yang dibina serta generasi pemimpin dan sarjana yang pernah dibimbingnya.
“Pemergiannya satu kehilangan besar kepada saya, keluarga, dan ramai pihak di seluruh dunia yang menerima manfaat daripada integriti serta teladan beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar menyifatkan Allahyarham, 79, sebagai individu yang gemar bekerja dalam diam, memberi bimbingan tanpa mengharapkan pengiktirafan serta sering meluangkan masa membantu pemimpin muda dan aktivis masyarakat.
Beliau berkata perkenalan mereka bermula melalui penglibatan Allahyarham dalam Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) di Amerika Syarikat, dan sejak itu beliau melihat sifat disiplin, ketenangan dan keutamaan Allahyarham dalam memperkukuh institusi serta komuniti.
Menurut Adams Centre, pertubuhan komuniti Islam berpusat di Washington DC, Allahyarham meninggal dunia pada 3 Disember waktu tempatan.