Wednesday, 10, December, 2025
Utama Nasional PM arah KKR susun semula status projek, rekod prestasi kontraktor secara terperinci

PM arah KKR susun semula status projek, rekod prestasi kontraktor secara terperinci

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) menyenaraikan semula semua projek di bawah kementerian itu, termasuk merekodkan dengan teliti prestasi setiap kontraktor, bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual.

Beliau menegaskan budaya kerja yang hanya menunggu projek siap atau menunggu masalah timbul sebelum pemantauan dibuat perlu dihentikan.

“Apa yang perlu dilakukan ialah senaraikan semua projek, nyatakan jumlahnya dan pastikan prestasi kontraktor direkodkan. Jangan tunggu sehingga projek siap baru sedar ia lewat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKR di ibu negara.

Anwar turut memaklumkan mesyuarat pemantauan pelaksanaan projek akan diadakan setiap bulan di peringkat kementerian dan negeri termasuk Sabah, Sarawak, Perlis dan Kelantan.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap kontraktor yang lewat atau bekerja sambil lewa, manakala pemantauan rapi mesti menjadi amalan tetap.

Beliau juga mengingatkan pegawai kerajaan agar lebih kerap turun padang untuk memahami keperluan rakyat, selaras dengan inisiatif Kampung Angkat dan Sejati Madani.

Menurut Anwar, peningkatan peruntukan pembangunan tidak memberi kesan jika pelaksanaan projek kekal perlahan.

Justeru, fokus utama kerajaan bagi 2025–2026 adalah memastikan projek disiapkan dengan berkesan dan mengikut jadual, bukan sekadar perancangan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.