Wednesday, 10, December, 2025
Utama Nasional Manfaat kestabilan politik untuk rancang program demi rakyat

Manfaat kestabilan politik untuk rancang program demi rakyat

oleh Ammar Haziq

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak memanfaatkan kestabilan politik yang dikecapi ketika ini bagi merangka dan melaksanakan program yang jelas untuk kepentingan rakyat.

Beliau berkata kestabilan tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI telah membolehkan negara mencatat pertumbuhan ekonomi baik, menurunkan kadar pengangguran serta menarik kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah.

“Beberapa tahun sebelum ini politik negara terumbang-ambing. Apabila stabil, hasilnya kita hampir berjaya menoktahkan kemiskinan tegar. Ini bukan usaha saya seorang, tetapi tekad Jemaah Menteri dan pelaksanaan KSN,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Kuala Lumpur.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata kerajaan tetap sedar masih terdapat ruang penambahbaikan yang harus ditangani tanpa menafikan kejayaan yang sudah dicapai.

“Saya tekankan bahawa dalam pertarungan politik, perselisihan ideologi, kaum dan negeri, kita kadang-kadang hilang nilai kemanusiaan,” ujarnya.

Menyentuh usaha memerangi rasuah, Perdana Menteri melahirkan kebimbangan terhadap trend baharu yang disifatkan sebagai mengagung-agungkan pemberi rasuah.

“Kita kata benci rasuah, tetapi bila tindakan diambil terhadap kawan sendiri, kita marah. Lebih membimbangkan apabila muncul aliran yang mendewakan pemberi rasuah. Ini sangat berbahaya dan tidak akan mengangkat negara,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.