PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kini berada di fasa akhir menoktahkan kemiskinan tegar, dengan kadar semasa hanya 0.09 peratus.
Beliau berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan dasar berfokus rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta kerjasama kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
Menurut Anwar, baki 0.09 peratus itu diyakini mampu diselesaikan menjelang suku pertama 2026, sekali gus menjadikan Malaysia bebas kemiskinan tegar.
“Malaysia diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar… Kini tinggal 0.09 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini.
Beliau berkata program seperti Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan SejaTi MADANI memberi impak besar kerana dipantau secara langsung bagi memastikan tiada komuniti tersisih.
Anwar turut menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kejayaan dasar ekonomi MADANI yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Program Rancakkan MADANI selama tiga hari itu menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya dan pelbagai pameran interaktif sebagai platform pelaporan tahunan kerajaan kepada rakyat.