ALOR SETAR – Ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat membanjiri kawasan Starwalk dan City Plaza di sini bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi penganjuran program One Day For Palestin 2025 yang berlangsung dengan penuh semangat dan keinsafan.
Program anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Pengurusan City Plaza Mall serta Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap krisis kemanusiaan yang berlarutan di bumi Palestin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan MBAS, Siti Nurfazlina Tafaruddin yang menyatakan sokongan penuh pihaknya terhadap inisiatif kemanusiaan seperti ini.
“Program sebegini bukan sahaja menyemai nilai empati dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform penting untuk menyuarakan keprihatinan kita terhadap penderitaan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik dan berunsur pendidikan telah dianjurkan sepanjang program berlangsung, antaranya Walk For Palestin yang menyaksikan penyertaan ratusan peserta dari pelbagai latar belakang, Pertandingan Lagu-Lagu Ketuhanan yang mengetengahkan mesej keamanan dan kasih sayang, serta Pertandingan Mewarna yang memberi ruang kepada kanak-kanak memahami nilai kemanusiaan sejak usia muda.
Setiausaha GPMS Kuala Kedah, Lt. Bersekutu (PA) Mohd Haziq Syafiq Joned berkata, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan bahawa isu Palestin masih dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Kedah.
“Program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu manifestasi solidariti rakyat terhadap perjuangan dan penderitaan saudara kita di Palestin. Ia juga menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia tidak pernah melupakan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha sebegini perlu diteruskan secara konsisten agar suara kemanusiaan terus bergema dan tidak tenggelam dalam arus masa.
“Kami percaya, usaha kecil yang dilakukan secara kolektif mampu memberi impak besar. Melalui program ini, kami ingin menyemai kesedaran, membina empati dan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam menyokong usaha kemanusiaan,” tambahnya.
Majlis penutup disempurnakan oleh Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah, Kapt. Bersekutu (PA) Amirul Syahir Musa yang menyeru agar semangat solidariti terhadap rakyat Palestin terus diperkukuhkan dan diterjemahkan melalui tindakan berterusan.
GPMS Kuala Kedah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program tersebut, termasuk MBAS, pihak pengurusan City Plaza, Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah, para sukarelawan serta jawatankuasa pelaksana.