PAHANG – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan komuniti yang terjejas akibat banjir di negeri ini.
MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, antara perkhidmatan disediakan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan termasuk kemudahan internet percuma, saringan kesihatan asas serta pelaksanaan aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan mangsa banjir kekal berhubung dengan keluarga serta pihak berkaitan, memperoleh maklumat yang tepat dan meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.
“Pengoperasian NADI on Wheels ini dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di Pahang,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan NADI on Wheels mula digerakkan ke PPS Bukit Setongkol pada 19 Disember lalu dengan tumpuan kepada sokongan akses digital dan bantuan berasaskan komuniti kepada mangsa banjir.
Inisiatif berkenaan dilengkapi dengan kemudahan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta capaian Wi-Fi percuma, menjadikannya sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.
Pendekatan itu membolehkan kesinambungan akses digital dikekalkan sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti yang terjejas akibat bencana.
NADI on Wheels merupakan inisiatif di bawah MCMC yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian internet serta sokongan maklumat secara terus, khususnya kepada golongan rentan, komuniti pedalaman dan kawasan yang terkesan akibat bencana.
MCMC turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan perkhidmatan NADI on Wheels ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa, selaras dengan peranan NADI sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi dalam kalangan rakyat.