Sunday, 21, December, 2025
Utama NasionalMedia benteng integriti, penghubung budaya global

Media benteng integriti, penghubung budaya global

oleh Ammar Haziq


GEORGE TOWN: Media berperanan sebagai benteng integriti dan jambatan antara budaya dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat serta bersatu padu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, peranan itu semakin penting dalam landskap dunia yang kian kompleks dan berdepan cabaran maklumat tidak tepat serta polarisasi sosial.


Menurut Anwar, media bukan sekadar saluran penyampaian berita, sebaliknya rakan strategik kerajaan dalam memajukan visi Malaysia MADANI melalui pemerkasaan tadbir urus yang baik, ketelusan, perkongsian ilmu dan pengukuhan keharmonian sosial.

Katanya, media yang bertanggungjawab mampu membina kepercayaan awam dan memperkukuh asas demokrasi negara.


“Dalam era data raya, kecerdasan buatan (AI) generatif dan komunikasi tanpa sempadan, dunia memerlukan kewartawanan yang beretika, naratif yang mengangkat nilai kemanusiaan sejagat serta komitmen teguh terhadap kebenaran, keadilan dan maruah insan,” katanya.


Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapan pada Persidangan Tahunan ke-58 World Chinese Language Press Institute yang berlangsung di Galeri Seni Lin Xiang Xiong, di sini.

Persidangan dua hari itu dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.


Anwar berkata, penganjuran persidangan itu melambangkan daya tahan serta sumbangan signifikan media berbahasa Cina dalam landskap kewartawanan negara dan antarabangsa.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 1968, World Chinese Language Press Institute konsisten mempertahankan kebebasan akhbar, memperkukuh standard profesional serta menjalin kerjasama merentas sempadan dalam kalangan organisasi media berbahasa Cina.


Menyentuh perkembangan teknologi, Perdana Menteri berkata penggunaan AI sedang mengubah landskap media secara drastik, termasuk cara maklumat dihasilkan, ditapis dan disebarkan.

Walaupun teknologi itu membuka ruang kecekapan dan penjimatan kos, katanya, ia turut menuntut penelitian serius terhadap aspek etika, tanggungjawab dan peranan media dalam persekitaran digital yang pantas berubah.


Beliau turut menyanjung legasi Kwong Wah Yit Poh yang disifatkan sebagai antara akhbar berbahasa Cina tertua di dunia yang masih bertahan, setelah melalui era penjajahan, konflik, peralihan kepada tadbir urus sendiri serta kini era revolusi digital.


Anwar berkata Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dengan media berbahasa Cina di peringkat global bagi memperluas jaringan maklumat serantau, memperdalam pemahaman budaya dan menyumbang kepada pembinaan komuniti dunia yang lebih berpengetahuan dan saling menghormati.

Artikel Berkaitan