Friday, 26, December, 2025
Utama NasionalPM seru rakyat tolak kebencian, semai empati sempena Krismas

PM seru rakyat tolak kebencian, semai empati sempena Krismas

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak kebencian dan terus menyemai empati demi memelihara keharmonian negara bersempena sambutan Hari Krismas.


Beliau berkata kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum, yang menjadi asas kepada kestabilan serta kemakmuran negara.


“Keharmonian tidak lahir secara kebetulan tetapi dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama dan budaya saling memahami dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Anwar berkata dalam suasana dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan serta perpecahan sosial, pendekatan perpaduan, dialog dan saling menghormati perlu terus diperkukuh sebagai asas membina masa depan negara.


“Malaysia memilih jalan perpaduan sebagai teras dalam membina masa depan negara yang aman dan inklusif, dengan memastikan setiap warga dihormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.


Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian dan berharap sambutan itu membawa kedamaian, keharmonian serta kemakmuran kepada Malaysia dan seluruh rakyat.

Artikel Berkaitan