KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan gencatan senjata yang dipersetujui antara Thailand dan Kemboja, yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah meredakan ketegangan serta melindungi kepentingan orang awam di kawasan terjejas konflik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan menghentikan pertempuran itu mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk mengutamakan pendekatan terkawal demi keamanan dan kestabilan serantau.
“Saya menyambut baik gencatan senjata yang dipersetujui oleh Kemboja dan Thailand, yang berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari (UTC+7). Keputusan ini menunjukkan pengiktirafan bersama bahawa kepentingan orang awam perlu diutamakan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya.
Menurut Anwar, langkah mengekalkan kedudukan pasukan dan menghentikan pertempuran merupakan asas penting bagi membina semula kepercayaan serta mengelakkan konflik berlarutan yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat di kedua-dua negara.
Beliau turut berharap usaha memelihara keamanan di rantau Asia Tenggara dapat diteruskan, khususnya apabila kepengerusian ASEAN akan diserahkan kepada Filipina pada tahun hadapan.
“Kerajaan Malaysia akan terus menyokong semua inisiatif bagi memastikan komitmen yang dipersetujui ini dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus mengekalkan prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai rantau yang aman,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga telah menetapkan beberapa langkah praktikal, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) serta penambahbaikan saluran komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Thailand turut bersetuju memulangkan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sekiranya gencatan senjata berterusan sekurang-kurangnya selama 72 jam, selain membenarkan penduduk yang terpaksa berpindah akibat konflik kembali ke kediaman masing-masing di kawasan sempadan.
Konflik yang tercetus sebelum ini berpunca daripada pertikaian wilayah berpanjangan, yang mengakibatkan korban nyawa serta kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan sempadan Kemboja dan Thailand.