KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum serta memperkukuh asas ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan akan melangkah ke tahun baharu dengan keyakinan tinggi bersama rakyat bagi merealisasikan aspirasi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.
“Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk Malaysia. Kita akan terus memelihara keharmonian dan memperkukuh ekonomi negara demi masa depan rakyat,” katanya.
Anwar berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial sempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi rakaman video sambutan ambang tahun baharu bersama rakyat Malaysia di ibu negara, yang turut menjadi permulaan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Sambutan berskala besar itu berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, yang menandakan pelancaran rasmi kempen berkenaan.
Menurut Anwar, kempen TMM 2026 menjadi antara inisiatif utama kerajaan untuk merancakkan semula sektor pelancongan negara, sejajar dengan sasaran menarik 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa.
Beliau menegaskan, usaha bersepadu antara kerajaan, pemain industri dan rakyat amat penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global.