KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepimpinan negara perlu dibina atas asas integriti, penentangan tegas terhadap rasuah serta dasar ekonomi yang benar-benar menangani keperluan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tahap pendapatan.
Beliau berkata, dalam melaksanakan agenda reformasi institusi, kepimpinan kerajaan tidak boleh terpisah daripada realiti kehidupan harian rakyat dan mesti kekal dekat dengan denyut nadi masyarakat.
“Saya bukan diktator. Saya perlu menangani isu dengan baik dan secara kolektif. Saya membayangkan seorang pemimpin yang tidak mencari kekayaan untuk diri sendiri, mengambil elaun gaji minimum, berpendirian tegas menentang rasuah serta mempunyai program yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Anwar berkata, sebagai ketua kerajaan perpaduan, setiap keputusan perlu dibuat secara bersama dan bertanggungjawab, bukannya bersifat unilateral.
Beliau berkata demikian dalam program One on One terbitan stesen penyiar Turkiye, TRT World, sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu baru-baru ini.
Menurut Anwar, reformasi tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain, kerana tindakan sedemikian berisiko mengecewakan rakyat sekiranya keperluan asas mereka diabaikan.
“Jika kita bercakap tentang reformasi tetapi gagal menangani isu kos sara hidup dan pendapatan rakyat, maka harapan itu boleh bertukar menjadi kekecewaan,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha membanteras rasuah berdepan cabaran besar kerana individu berkuasa yang terlibat sering mempunyai pengaruh luas dalam media, institusi kehakiman dan sistem penguatkuasaan.
“Saya sendiri berdepan serangan dan tuduhan, termasuk dakwaan yang mempersoalkan reformasi pada peringkat awal pentadbiran saya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan telah mengumumkan fasa kedua reformasi yang merangkumi kebebasan maklumat, penubuhan institusi ombudsman serta penetapan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri.
Beliau turut menyifatkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) sebagai langkah penting dalam memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan pengurusan kewangan negara.
“Bukan mudah untuk seorang Menteri Kewangan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Parlimen, tetapi demi akauntabiliti, ia mesti dilakukan,” katanya.