Monday, 12, January, 2026
Utama NasionalPM pengerusikan mesyuarat Kabinet sebaik pulang dari Turkiye

PM pengerusikan mesyuarat Kabinet sebaik pulang dari Turkiye

oleh Ammar Haziq

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air selepas menamatkan lawatan rasmi ke Republik Türkiye yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Januari lalu.


Ketibaan beliau menandakan berakhirnya siri pertemuan peringkat tinggi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam pelbagai bidang strategik.


“Alhamdulillah, selamat tiba ke tanah air selepas menyelesaikan lawatan rasmi di Republik Turkiye,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Menurut Anwar, sebaik tiba, beliau terus ke pejabat bagi mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri sebagai kesinambungan tugasan pentadbiran kerajaan.


“Saya terus ke pejabat untuk mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Untuk Malaysia,” katanya.


Sepanjang lawatan rasmi itu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan kedua-dua pemimpin bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara Malaysia dan Turkiye.


Lawatan berkenaan turut membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan serta pendidikan, selari dengan hubungan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.


Perdana Menteri turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi rasmi Malaysia dalam lawatan tersebut.

Artikel Berkaitan