Wednesday, 21, January, 2026
Utama NasionalUjian diagnostik pastikan murid 6 tahun bersedia ke Tahun 1

Ujian diagnostik pastikan murid 6 tahun bersedia ke Tahun 1

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Ibu bapa akan diberi peluang untuk mendaftarkan anak-anak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 secara sukarela bermula 2027, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan dasar baharu itu bukanlah sesuatu yang tergesa-gesa, sebaliknya akan disokong dengan sistem ujian diagnostik bagi memastikan murid benar-benar bersedia dari segi psikoemosi, kemahiran asas dan tahap penguasaan sebelum melangkah ke Tahun 1.


Menurutnya, ujian diagnostik itu akan menjadi penentu kebersediaan anak-anak berusia enam tahun untuk mengikuti kurikulum baharu di sekolah rendah.


“Kita tidak serahkan keputusan ini kepada ibu bapa semata-mata. Ia mesti datang dengan sokongan sistem yang kukuh. Ujian diagnostik akan mengenal pasti tahap psikoemosi, kemahiran dan kesediaan murid untuk berada dalam kelas Tahun

“Dasar ini juga bukan wajib, ia pilihan. Tetapi pilihan itu mesti disokong dengan data dan persediaan yang rapi,” katanya selepas hadir Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini, hari ini.

Fadhlina menjelaskan, tiga aspek utama sedang diberi perhatian iaitu prasarana sekolah, penjadualan guru serta pelaksanaan ujian diagnostik.


Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengenal pasti sekolah yang bersedia untuk melaksanakan dasar tersebut, termasuk membina kelas baharu menggunakan kaedah IBS (Industrialised Building System) bagi mengatasi isu kepadatan.


“Kita sudah ada pengalaman membina lebih 100 sekolah menggunakan IBS untuk mengatasi masalah sekolah padat. Jadi, jika ada keperluan tambahan, kita bersedia melaksanakannya dalam tempoh singkat,” jelasnya.

Mengenai keperluan guru, Fadhlina menegaskan bahawa penjadualan dan penempatan guru akan disusun berdasarkan data yang diperoleh melalui ujian diagnostik.


“Guru kita sentiasa ada, yang penting ialah bagaimana kita menyusun penempatan mereka untuk memenuhi keperluan murid enam tahun yang akan masuk Tahun 1. Mereka juga akan diberi latihan untuk menguasai aspek tertentu bagi mendukung murid ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa dasar ini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang terburu-buru kerana Malaysia sudah mempunyai pengalaman dengan murid yang menamatkan pendidikan lebih awal, termasuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun.


“Kita sudah ada contoh anak-anak Akademi Sains Pendang yang mengambil SPM pada umur 16 tahun. Jadi ini bukan perkara asing. Apa yang penting ialah sokongan sistem dan persediaan ibu bapa,” katanya.

Fadhlina menegaskan, KPM akan terus memaklumkan perkembangan pelaksanaan dasar ini dari semasa ke semasa bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat keputusan terbaik untuk anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan