Friday, 23, January, 2026
Utama EkonomiPerdagangan negara lepasi RM3 trilion, rekod baharu ekonomi Malaysia

Perdagangan negara lepasi RM3 trilion, rekod baharu ekonomi Malaysia

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta sejarah baharu apabila jumlah perdagangan negara bagi tahun lalu melepasi paras RM3 trilion buat kali pertama, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi sejak data perdagangan direkodkan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan kuasa besar.


Menurut beliau, kejayaan berkenaan turut disokong pertumbuhan pelaburan yang kekal kukuh sepanjang tahun lalu, hasil dasar kerajaan yang menekankan disiplin fiskal, tadbir urus baik serta keterbukaan meneroka pasaran baharu.


“Jumlah perdagangan yang mencecah RM3 trilion ini akan diumumkan secara terperinci oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dan ia satu pencapaian penting buat negara,” katanya.


Anwar berkata, bagi sembilan bulan pertama 2025 sahaja, jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM285.2 bilion, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Beliau menjelaskan, prestasi itu antara yang terbaik dalam sejarah negara selepas Malaysia merekodkan pelaburan RM329.5 bilion pada 2023 dan meningkat kepada RM384.4 bilion pada 2024.


Katanya, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan domestik yang stabil memberi kesan positif kepada perdagangan, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.


Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohammad, pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.


Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh strategi perdagangan dan pelaburan negara bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif, berdaya tahan serta mampu menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.

Artikel Berkaitan