Sunday, 25, January, 2026
Utama NasionalAnwar gesa hentikan kartel, elak bebankan rakyat

Anwar gesa hentikan kartel, elak bebankan rakyat

oleh Ammar Haziq

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya menghentikan amalan kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor strategik termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan.


Beliau berkata, kewujudan kartel bukan sahaja membebankan rakyat, malah mengakibatkan pembaziran peruntukan kerajaan serta menjejaskan usaha menambah baik kemudahan awam dan perkhidmatan asas.


“Jangan bergantung pada kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai.


Menurut Anwar, penguasaan kartel dalam sistem perolehan dan pasaran tertentu menyebabkan peningkatan kos yang tidak munasabah, sekali gus menyukarkan kerajaan menyalurkan dana tambahan bagi projek pembangunan seperti pembinaan hospital, klinik dan kemudahan rakyat di kawasan lain.


Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan komited melaksanakan reformasi tatakelola termasuk memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan bagi memastikan dana awam tidak dibazirkan atau disalah guna.


Perdana Menteri turut memberi penekanan khusus terhadap sektor pertahanan yang memerlukan pengurusan perolehan berintegriti serta bebas daripada pengaruh kartel bagi menjamin kewibawaan pasukan keselamatan negara.


Beliau berkata, langkah berkenaan penting untuk memastikan setiap perbelanjaan pertahanan memberi pulangan maksimum kepada negara, termasuk pembangunan industri tempatan serta peningkatan keupayaan aset strategik.


Anwar menegaskan usaha membanteras kartel dan menghapuskan ketirisan perlu dilaksanakan secara menyeluruh merentasi semua kementerian dan jabatan agar penjimatan yang dicapai dapat dipulangkan semula kepada rakyat.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar kes terpencil tidak dijadikan alasan untuk menilai keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan.


“Saya tidak mahu satu atau dua kes tertentu itu mewakili seluruh angkatan bersenjata. Negara ini aman kerana pengorbanan mereka,” katanya.


Beliau menambah, integriti dan kewibawaan pasukan keselamatan merupakan tunjang kestabilan negara serta faktor penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan