KOTA BHARU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dua atau lebih individu yang terlibat menyebabkan kematian Ahli Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menurutnya, pihaknya masih menunggu hasil siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian Allahyarham disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali dua tahun lalu.
“Oleh sebab itu, pihak polis perlu menjalankan siasatan dan perkara ini sudah dibentangkan dalam Kabinet serta seterusnya Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya seperti dipetik dari Sinar Harian selepas Lawatan Kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di sini hari ini.
Ulasnya, tempoh untuk mendapat hasil siasatan tetap ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tetapi bagi kes jenayah tidak ada tempoh masa yang khusus.
“Bagi kes jenayah siasatan akan terus berjalan sehingga berhasil menemukan pelaku untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – KG