873
- Saya telah menerima banyak aduan dan keluhan ketiadaan air hampir setiap hari dari penduduk di dalam kawasan lebih-lebih lagi bila tiba musim kemarau yang menyebabkan sumber air menyusut dengan begitu ketara. Ini bukan cerita baru, tetapi kisah ulangan perjuangan air yang belum selesai.
- Saya tidak pernah lelah membangkitkan isu air di Merbok ini beberapa kali di dewan yang mulia, Dewan Rakyat, bila ada kesempatan dalam ruang perbahasan termasuklah ruang bertemu dengan Menteri yang bertanggungjawab ketika saya masih berada bersama kerajaan mahupun setelah menjadi pembangkang agar isu air yang lebih dua dekad ini mampu mendapat perhatian dan segera dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
- Kita pernah menyaksikan kemuncak isu air di Merbok pada Mac 2019, ekoran kemarau yang menyebabkan pengeluaran Loji Headwork Tupah menyusut daripada 18 Juta Liter Sehari (MLd) kepada 8.5 MLd. Keadaan ini telah menyebabkan gangguan di penghujung sistem bekalan air terutamanya di Tanjung Dawai, Singkir, Segantang Garam, Merbok, Bujang, Semeling dan Bedong. Dianggarkan hampir 5,000 akaun melibatkan hampir 20 ribu penduduk di kawasan Parlimen Merbok telah terjejas akibat gangguan bekalan air ini. Bantuan kecemasan dari operator air luar dari Negeri Kedah turut digerakkan membantu penghantaran air termasuk penggunaan lori jumbo dari BOMBA serta pemantauan dari pihak 60 Rejimen Pakar Air, RAJD untuk mengawal situasi tegang orang awam bila ketiadaan air.
- Dalam usaha meneruskan apa yang ada dalam kawalan kita, sepanjang tahun 2019, pihak SADA juga telah banyak melakukan ‘exercise’ pengagihan semula air di kawasan-kawasan kritikal dengan melakukan ‘bypass’ di lokasi-lokasi strategik dan juga aktiviti Active Leakage Control (ALC) bagi mengawal tekanan dan meningkatkan kapasiti air khususnya di kawasan penghujung sistem. Sebagai langkah penyelesaian jangka sederhana, sejumlah RM300 ribu dari peruntukan Parlimen Merbok telah saya salurkan khusus untuk pembinaan Rumah Pam di Sg Gelam yang mampu menampung sejumlah 30,000 gelen air. Bagi kesinambungan usaha tersebut, saya juga telah bercadang untuk memperuntukkan lagi 500 ribu dari Peruntukan Parlimen bagi pembinaan pam berperingkat di Kolam Sedutan Toh Pawang untuk meningkatkan kapasiti penghantaran air ke Kolam Inas 2, Merbok dapat dimaksimakan bagi kegunaan kawasan Pekan Semeling, Taman Semeling Indah, Taman Lembah Bujang, Sg Gelam, Segantang Garam dan Kuala Segantang Garam yang melibatkan lebih 3,800 akaun pengguna. Namun, cadangan ini tidak dapat diteruskan apabila peruntukan Parlimen telah dibekukan hujung Februari 2020 setelah pertukaran kerajaan.
- Saya dengan tegas ingin merujuk kembali pendirian saya terkait isu ini dalam kenyataan 10 Februari 2021 baru-baru ini melalui link berikut https://www.facebook.com/261703997300094/posts/2101861766617632/ . Saya juga suka untuk mengajak semua merujuk Laporan Ketua Audit Negara berkenaan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Kedah Tahun 2018 pada mukasurat 38 secara jelas menyatakan bahawa pelaksanaan projek menaiktaraf LRA Bukit Selambau merupakan salah satu cara penyelesaian jangka panjang masalah bekalan air di Tanjung Dawai dan Merbok terutamanya pada musim kemarau.
- Projek Menaiktaraf (LRA) Bukit Selambau dari 30MLd kepada 70 MLd ini sebenarnya telah pun diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 pada tahun 2016. Ianya juga telah melalui Makmal Value Management (VM Lab) yang dilaksanakan pada 2-5 Mei 2017 dan Makmal Value Engineering (VE Lab) yang dilaksanakan pada 10-13 April 2018. Dijangka dengan siapnya projek ini, ia mampu membekalkan air terawat secara mampan bagi memenuhi permintaan sehingga tahun 2040. Sebagai nota tambahan yang tidak kurang pentingnya, projek ini yang asalnya dibiayai sepenuhnya secara pinjaman telah dipersetujui oleh Menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada 3 April 2019 dalam jawapan balas sesi penggulungan untuk ditukarkan kepada ‘immediate grant’ agar kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan segera.
- Penghantaran air ke rumah-rumah kediaman menggunakan lori tangki bukanlah impian rakyat kebanyakan. Ia kerja yang sangat melelahkan bagi SADA bahkan merugikan kerana kos yang lebih tinggi terpaksa ditanggung disamping mengundang tekanan hidup yang berpanjangan kepada rakyat selagi masalah ini tidak diselesaikan.
- Maka dengan fakta-fakta yang telah saya bariskan di atas, sangat jelas bahawa, sudah tiada alasan lagi untuk kita melengah-lengahkan lagi pelaksanaan projek Menaiktaraf LRA Bukit Selambau. Rakyat sudah lama menderita dan bersabar. Air adalah keperluan asas dan tanggungjawab yang mesti dilunaskan oleh kerajaan dengan penuh kesegeraan.
Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
Ahli Parlimen Merbok