Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Semakan hakim undi 18, Muda Kedah kesal alasan Jabatan Peguam Negara

Semakan hakim undi 18, Muda Kedah kesal alasan Jabatan Peguam Negara

oleh Ammar Haziq
Faqrul Ashraf

Kenyataan Pengerusi MUDA Kedah Mengenai Penangguhan Pelaksanaan Undi 18
1.               Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan sebuah tindakan undang-undang oleh gerakan Undi 18 telah mengejutkan negara pada hari Selasa, 19 April 2021. Tindakan undang-undang yang ditolak tersebut merupakan sebuah respons oleh sekumpulan anak muda yang mahukan pelaksanaan Undi 18 mengikut tempoh masa yang dipersetujui para ahli Dewan Rakyat pada tahun 2019. Justifikasi Jabatan Peguam Negara yang menganggap permohonan pasukan anak muda tersebut sebagai pramatang dan remeh adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan. Bahkan, ia menunjukkan bahawa harapan agar hak memilih pemimpin diberikan kepada golongan anak muda berusia 18-20 tahun semakin pudar dari arena demokrasi negara.
2.               Sebagai Pengerusi MUDA Kedah, saya membantah sekeras-kerasnya alasan Jabatan Peguam Negara yang menyifatkan permohonan tersebut sebagai pramatang dan remeh, serta ingin menegaskan bahawa suara anak muda tidak sepatutnya dipandang enteng begitu sahaja. Saya juga ingin mengambil peluang ini bagi mendesak Kerajaan Negeri Kedah dalam menyatakan pendirian jitu mengenai pelaksanaan Undi 18. Hal ini juga berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac 2021 untuk menangguhkan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR) dan Undi 18 sehingga 1 September 2022 yang merupakan satu tindakan yang tidak konsisten dalam usaha untuk memperjuangkan hak dan suara anak muda.
3.               Naratif politik lapuk yang masih menjadi mainan ahli politik Malaysia seakan-akan acuan rejim 60 tahun dahulu, untuk menyekat dan mengunci suara anak muda, perlu dihentikan. Kelantangan dan cakna orang muda dalam politik negara seolah-olah menimbulkan ketakutan kepada kelompok-kelompok tertentu yang mahu mempertahankan status quo masing-masing. Tindakan ini bukan sahaja merompak hak orang muda, malah membelakangkan institusi Parlimen kerana persetujuan untuk melaksanakan Undi 18 telah dipersetujui bersama-sama di blok pembangkang dan kerajaan pada tahun 2019 secara bipartisan success. Sebanyak  211 Ahli Dewan Rakyat bersetuju tanpa sebarang bantahan pada 6 Julai 2019 manakala pada 25 Julai 2019 pula, seramai 47 Ahli Dewan Negara meluluskannya. Malah, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 September 2019 disusuli dengan pewartaannya pada 10 September 2019 turut memperkenan usaha ini. 
4.               Saya menyelar sekeras-kerasnya mana-mana tindakan yang berusaha membantutkan usaha ini. Ianya sangatlah tidak wajar dan mencoret seribu penyesalan. Merujuk kepada kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan dalam kenyataan beliau pada 3 November 2020, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR) dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021. Kenyataan oleh Azhar Azizan Harun iaitu mantan Pengerusi SPR, dalam satu sidang Media pada 22 Januari 2020, SPR telah berjaya melakukan penentuan lokaliti pengundi secara manual dan berjaya menyelesaikan lebih 2 juta orang pengundi baru. Hal ini jelas menunjukkan bahawa SPR dengan jitu mahu melaksanakan Undi 18. SPR harus bertindak sebagai badan bebas dan bukannya state machinery kepada mana-mana pihak.
5.               Alasan penangguhan sehingga lebih 14 bulan serta menyalahkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan isu pandemik sangat tidak rasional dan disifatkan sebagai langkah politik kerana takut akan suara anak muda. Hal ini jelas menggambarkan bahawa badan-badan kerajaan sedia ada tidak kompeten untuk menjalankan tadbir urus dengan baik. Penghinaan dan perlecehan hak terhadap anak muda tidak boleh dibiarkan malah kesannya jauh lebih negatif dari apa yang mampu dibayangkan. Sekiranya Pilihanraya Umum Ke -15 (PRU-15) dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat, ini merupakan satu pilihanraya yang dijalankan dengan mencabul institusi perlembagaan Malaysia. Hal ini seolah-olah Malaysia sudah tidak menyanjung konsep demokrasi malah mahukan pemerintahan secara tirani dan kuku besi.
6.               Saya mendesak dan menggesa Kerajaan Negeri Kedah selaku parti komponen kerajaan Perikatan Nasional untuk menyatakan secara jelas sokongan atau bantahan terhadap penangguhan pelaksanaan Undi 18 serta penjelasannya supaya belia dan khususnya kelompok Undi 18 di negeri Kedah tidak lagi tertanya-tanya tentang pendirian Kerajaan Negeri Kedah. Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah perlu menyatakan komitmen untuk menyokong RUU Undi 18 bagi menunjukkan usaha yang jitu dalam memperkasa belia di bidang politik dan memperkukuh kebebasan bersuara serta berpersatuan dalam suasana demokrasi di Malaysia.
FAQRUL ASYRAF
PENGERUSI IKATAN DEMOKRATIK MALAYSIA NEGERI KEDAH DARUL AMAN
(MUDA KEDAH)
21 APRIL 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com