Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Fitnah di Facebook : 10 individu disaman jutawan hartanah

Fitnah di Facebook : 10 individu disaman jutawan hartanah

oleh Ammar Haziq
Muhammad Azlan (tengah) pada sidang media di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – 10 pemilik akaun Facebook berdepan saman oleh jutawan hartanah, Muhammad Azlan Al-amin berikutan fitnah yang dilemparkan mereka berhubung isu tanah di laman media sosial tersebut.

Pengarah urusan Azlan AL Amin Group Holdings Sdn Bhd itu berkata, reputasinya tercalar selepas didakwa mencagar geran tanah keluarga mereka sehingga dilelong dan kini tular di Facebook.

“Saya membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jertih di Besut pada menyedar hantaran yang tular itu kira-kira pukul 2 petang pada Jumaat lalu.

“Hantara berkenaan menyebabkan saya teruk dikecam sehingga ada komen jelek termasuk menyamakan saya seperti ‘manusia khinzir’ dan ‘orang gila’. Ada juga tuduhan kononnya saya hidup senang sebab menipu dan hantaran itu menyebabkan saya dikecam,”katanya pada sidang akhbar pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu pada Rabu.

Muhammad Azlan (dua kiri) bersama Penasihat Undang-undangnya, Mohd Ali Akbar Yusoff (dua kanan) menunjukkan salinan tangkap layar selepas sidang media pada Rabu di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

Mengulas perkara itu, Muhammad Azlan berkata, beliau mengenali tiga daripada 10 individu berkenaan dan tindakan saman akan diambil secepat mungkin untuk membersihkan kembali imejnya.

Menurutnya, perkara itu dilakukan agar dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai agar hukuman setimpal perlu diberikan kepada mereka yang mengambil ringan soal amalan fitnah ini.

“Selepas itu mereka perlu berhati-hati dalam berkongsi perkara yang tidak sahih. Saya bukan fokus kepada wang tapi perkara ini wajar menjadi pengajaran.

“Jika semua pemilik Facebook ini tampil memohon maaf, tindakan undang-undang masih perlu diteruskan kerana reputasi dan imej saya sebagai ahli perniagaan sudah tercalar,”katanya lagi.

Penulis buku ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ sebelum ini menjadi tumpuan kerana kisah hidupnya menjadi inspirasi orang ramai di negara ini.

Baru-baru ini juga, beliau juga membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk di Kampung Tok Raja, Besut dengan mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma ketika pulang bercuti selama seminggu sekitar awal Mac lalu.

Muhammad Azlan juga melakukan kejutan kepada seorang penjual lokan di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan dengan datang menaiki helikopter untuk melakukan urusan jual beli lokan lebih kerap menjadi buah mulut warganet di media sosial dan susulan itu juga namanya meningkat naik.



Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com